SERATUS HARI

 Hari ni, 30 Januari 2021, genap 100 hari mak pergi. 

Dalam tempoh seratus hari, aku rasa baru semalam semua ini terjadi. Masih terngiang-ngiang aku cakap kat mak, "Mak jangan risau, nyawa mak liat. Akak mati dulu." Tapi, Allah maha mengetahui, dan mak akhirnya tetap pergi. 

Sepanjang tempoh menjaga mak, kalau boleh semua mak nak buat sendiri, tak mahu susahkan anak dia. Walaupun demam, sakit, tetap dia berkeras nak pergi toilet sendiri, tak mahu pakai tiub kencing. Walaupun dengan anak sendiri, tetap mandi tutup pintu sebab malu. Walaupun kat hospital, mak tetap bangun 4 pagi, mandi dan mengaji. Mak cakap itulah amalan yang mak jaga sebelum pergi umrah 2015. 

Setiap pagi rutin selepas solat buatkan mak susu, aku bancuhlah secawan kopi 3 in 1. Mak selalu kecek-kecek kopi, bila bagi sikit, dia cakap kedekut! hehehe....Kita risau perut dia sensitif dengan krimer, bagi rasa sikit-sikit hilangkan kinyam tu, bak kata orang Melaka. Pukul 7:30am mak duduk atas kerusi sebab nurse akan masuk untuk kemas katil then pukul 8am sarapan sampai. 830am doktor akan melawat dan time ni selalunya aku akan report progress mak, dan mak akan jeling je bila kita report. Bila ingat balik, dah macam terbalik dah mak, jadi budak kecik. Penatlah kita beli alat untuk kuatkan paru-paru, suruh mak praktis tiup, mak tiup sekejap je pastu takmo. Doktor pesan suruh duduk  supaya jantung ok, bila kita suruh, mak tarik selimut, selibung. Mak, mak.... Selalu cakap kat mak, "Nanti mak keluar, mak dah sihat akak bukak balik cerita mak degil macam mana." sambil tergelak-gelak. 

Lepas dah makan, bukak Netflix kat laptop supaya mak tak bosan sebab dalam bilik takde tv, internet tak kuat, memang bosan yang amat! Dapatlah tengok cerita Korea 16 episod sama-sama. Jadi translator sebab subtitle English. Mak cakap, "Pandai ko kak bahasa Korea." Terkekek aku gelak, "Faham mende, akak translate English tu la mak." Lepas tu, mak tengok Netlfix kat handphone cerita Indonesia, senang sikit nak faham. Hari-hari yang seterusnya aku bukak cerita hindustan lama-lama jela sebab mak dah mula tak nak tengok movie. 

Malam-malam sebelum tidur, sapukan mak minyak olive oil sebab kami berdua kulit mengelupas teruk sebab suhu yang terlampau sejuk. Sapukan losyen, isi 4 bantal air panas, 2 untuk mak, 2 untuk aku. Satu bantal letak kat hujung kaki mak, satu lagi letak kat belakang badan sebab pinggang mak sakit, jadi bila ada air panas, selesa sikit. Bila mak dah pakai tiub, rasa selamat sikit sebab mak tak perlu nak turun katil banyak kali. Bila terjaga tengok beg kencing dah penuh, amik jug dan kosongkan beg. Aku mintak nurse ajarkan sebab tak kan nak tunggu nurse datang tukar, lagipun tak susah mana pun, yang penting catat berapa jumlah kencing.

Masa mak dah mula sakit kuat bila sel darah Pakngah dah masuk, doktor bagi mak morphine. Dapatlah mak tidur, tapi masalahnya mak asyik mengigau, jerit marah-marah dalam tidur. Kita ni terpinga-pingalah kat sebelah, dia marah sape? Nama anak siapa yang dia sebut tu? huhuhu Bila mak terjaga dia cakap dia mimpi, terbayang-bayang semua sampai tak nak amik morphine. Sanggup mak tahan sakit sebab dia tak nak mengigau. Lepas puas pujuk barulah mak ok. 

Mak teringin nak makan nasi goreng kampung pedas-pedas abang Am masak, nak minum carrot susu minuman favourite dia. Itulah benda terakhir yang mak teringin. Mak duk cerita buah betik dia dah kena kokak dek monyet, geng ngaji dia, jiran-jiran, dan layan dia meluah perasaan. Selalu tanya dia mak sayang akak tak, as usual mak akan mencebik. Mak, mak.... mak buat akak rindu nak usik mak. 

Mak, akak tengah down dengan tesis akak, akak menangis sebab kenapa susahnya penyelia akak nak terima. Kalau mak ada, mesti akak dah lega, at least akak dapat luahkan. Kadang-kadang akak tak mintak orang faham, cukup bagi akak semangat agar semua benda dapat selesai. Akak berlapang dada dengan semua ni, segala kebaikan, ilmu yang akak tunjuk ajar kepada anak murid, semuanya akak niatkan untuk mak. Akak yakin, mak sedang berbahagia di sana dengan atuk, dengan nenek. Cuma kami yang masih hidup ni, tak tahu lagi pengakhiran kami macam mana, harap sama seperti emak.

Mak, yang tinggal sekarang semangat mak untuk anak-anak mak teruskan hidup, terus berbakti, untuk hari ni dan yang akan menanti. Semoga Allah limpahkan rahmat untuk anak-anak mak supaya dapat jadikan mak insan yang paling beruntung di sana, insyaallah.



*Al fatihah.

Comments

Popular Posts